Pergi ke kandungan

Mangga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebiji buah mangga

Mangga, pauh atau mempelam merupakan buah dihasilkan pokok-pokok tropika digolongkan dalam genus Mangifera sebahagian daripada keluarga Anacardiaceae. Tiada orang yang tahu dengan tepat tentang tempat asalnya, tetapi kebanyakan kajian setuju bahawa pokok ini berasal dari benua Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk India timur laut, Myanmar, dan Bangladesh, selepas rekod-rekod fosil yang wujud sejak 25 hingga 30 juta tahun dahulu telah ditemui di sana. Pokok yang menghasilkan buah ini berbatang tegak dengan bunganya malai, buahnya yang bulat panjang pendek dan pelbagai warna isi buah dan rasa dihidangkan sama ada terus dimakan atau diterapkan dalam masakan sebagai rojak, manisan, selai dan sebagainya.[1]

Rujukan kepada buah mangga sebagai "makanan dewa-dewi" boleh didapati dalam kitab-kitab Veda Hindu. Hari Mangga Nasional jatuh pada 22 Julai untuk meraikan buah serba guna ini.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Ketiga-tiga nama "mangga" (Jawi: ‏مڠݢ‎‎), "pauh" (Jawi: ڤاءوه‎) dan "mempelam" (Jawi: ممڤلم‎) pada asasnya dipakai kepada spesies jenis dalam genus pokok-pokok buah ini iaitu Mangifera indica.[2] Nama pauh merupakan perkataan asli Melayu untuk buah ini diturunkan daripada akar *pahuq dalam Bahasa Melayu-Polinesia Purba, nama mempelam menyerap dari Tamil: மாம்பழம், rumi: mampaḻam gabungan மாம் mam "pauh" dan பழம் paḻam "buah", manakala nama mangga menyerap dari bahasa sama iaitu மாங்காய் māṅkāy khusus bermaksud "pauh muda/belum masak"[3] melalui bahasa Portugis.[4]

Kedua-dua perkataan pauh dan mempelam wujud dalam bahasa Melayu Klasik, perkataan sementara mangga diamati hanya wujud pada abad ke-17 atau 18.[4]

Sebatang pohon mangga berbunga mekar di Kerala, India.

Pokok buah mangga tumbuh besar mencapai ketinggian antara 35–40 meter,[5] dengan dahan berukuran 10 meter. Pokok-pokok baka mangga yang berasal dari India tidak tahan kelembapan sehingga tidak dapat menahan kulapuk, manakala pokok-pokok baka yang ditanam di Asia Tenggara boleh tahan kelembapan yang berterlaluan. Pucuk-pucuk atau anak-anak pokok baka dari India berwarna merah terang manakala anak pokok baka-baka Asia Tenggara berwarna hijau pucat atau merah.[6][7]

Semua pokok mangga malar hijau. Daun-daunnya disusun berselang-seli, dan mempunyai bentuk mudah, dengan panjangnya sebanyak 15-35 sentimeter dan lebarnya 6-16 sentimeter. Ketika muda, warnanya jambu merah-jingga, tetapi berubah dengan cepatnya menjadi merah tua berkilat, dan kemudiannya hijau tua ketika matang.

Bunga-bunga pokok tumbuh pada bulir dengan panjangn sebanyak 6-40 sentimeter.[5] Saiz setiap bunga kecil sahaja dan berwarna putih, dengan lima kelopak sehingga 5-10 milimeter panjangnya. Bau bunga ini sedikit harum seakan-akan bau bunga lili. Selepas kelopak bunga luruh, buahnya masak selepas 3 hingga 6 bulan.

Buah tumbuh terjuntai-juntai dari tangkai panjang. Saiznya berbeza-beza antara 10-25 sentimeter panjangnya, dan 7-12 sentimeter diameternya. Beratnya sehingga 2.5 kilogram. Buah mangga baka India monoembrio berwarna kemerah-merahan yang mempunyai bentuk biasa manakala buah mangga baka-baka Asia Tenggara berbentuk seperti ginjal panjang.[6][7]

Warna buah yang masak berbeza-beza antara warna kuning, jingga, atau merah pada belah buah yang menghadapi matahari, dan warna kuning pada belah yang teduh. Warna hijau biasanya menunjukkan bahawa buah itu masih belum masak, tetapi ini bergantung kepada kultivarnya. Apabila masak, buah ini berbau sedikit wangi seperti damar.

Sebiji buah mangga mempunyai benih tunggal yang leper, dan berbentuk empat segi panjang, dengan saiz 4-7 sentimeter panjang, 3-4 sentimeter lebar, dan 1 sentimeter tebal. Bergantung kepada kultivarnya, biji benih ini berserabut atau licin pada permukaannya. Benih dilitupi kulit senipis kertas dengan ketebalan sebanyak 1-2 milimeter.

Penanaman

[sunting | sunting sumber]

Mangga kini ditanam dengan meluas sebagai pokok buah di kawasan-kawasan tropika dan subtropika yang bebas daripada fros, iaitu di seluruh benua India, benua-benua Amerika Utara, Tengah dan Selatan, Caribbean, Afrika tengah serta selatan, Australia, dan Asia Tenggara. Pokok ini mudah ditanam, dan kini terdapat melebihi 1,000 kultivar yang berbeza-beza dari buah mangga turpentin (namanya berasal daripada rasa turpentinnya dan menurut Buku Panduan Makanan Oxford, sebilangan jenis benar-benar mengandungi bahan kimia ini) hingga ke huevos de toro testikel buah pelir]] kerbau"; namanya mendasarkan bentuk dan saiznya).

Buah mangga dikatakan merupakan buah segar yang paling banyak dimakan di seluruh dunia. Walaupun demikian, petani-petani buah mangga hanya menerima harga yang rendah untuk hasil mereka. Disebabkan ini, buah mangga telah menjadi satu barang 'perdagangan saksama' di sebilangan negara.

Mangga juga menyesuaikan diri dengan mudah dalam iklim-iklim tropika. Sesetengah hutan tanah pamah di Kepulauan Hawaii didominasi oleh pokok-pokok buah mangga yang dibawa masuk, dan pokok ini merupakan pokok buah yang biasa ditanam di kawasan belakang rumah di Florida Selatan (pokok ini tidak ditanam secara besar-besaran di Florida).

Isi buah mangga yang masak mengandungi lebih kurang 15% gula, sehingga 1% protein, dan agak banyak vitamin A, B dan C. Rasa buah ini amat manis, dengan sesetengah kultivar mempunyai rasa yang sedikit masam. Tekstur isi buah mangga amat berbeza-beza antara kultivar-kultivar yang berlainan; sesetengah buah mempunyai tekstur yang lembut dan benyek seolah-olah buah plum yang terlalu masak, sedangkan yang lain mempunyai isi yang lebih pejal serupa dengan tembikai wangi atau avokado. Isi buah sebilangan kultivar juga boleh mengandungi serabut. Buah mangga mengandungi banyak jus, dan rasa manis serta kandungan air yang tinggi menyebabkan buah ini amat menyegarkan ketika dimakan, walaupun agak leceh dan kotor.

Mangga tergolong dalam famili yang sama dengan pokok ivy beracun dan mengandungi urusyiol, walaupun tidak serupa banyak dengan ivy beracun. Sesetengah orang menghidap penyakit dermatitis ketika menyentuh sap atau kulit buah yang dikupas. Orang-orang yang mengalami tindak balas alergi selepas menyentuh buah mangga biasanya dapat menikmati buah ini jika orang lain mengupas kulit buah ini lebih dahulu. Daun-daun Buah Mangga adalah toksik terhadap lembu.

Buah mangga telah dikatakan melegakan usus-usus dan oleh itu, menyebabkan buah ini mudah dicernakan. Buah ini merupakan buah kebangsaan India dan Pakistan, dan dipercayai dapat membantu menghentikan perdarahan, mengukuhkan jantung, dan memanfaatkan otak. Buah mangga juga merupakan motif yang biasa dalam tekstil-tekstil India, dan dikenali sebagai corak Paisley.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ "mangga". Kamus Besar Bahasa Indonesia (ed. 3rd). Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. 2016.
  2. ↑ Berdasarkan perbandingan di Kamus Dewan edisi ke-4 keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia:
  3. ↑ "மாங்காய்". University of Madras Tamil Lexicon. University of Madras. 2020.
  4. 1 2 Waruno Mahdi (2007). Malay Words and Malay Things: Lexical Souvenirs from an Exotic Archipelago in German Publications Before 1700. Otto Harrassowitz Verlag. m/s. 46–47. ISBN 978-3-447-05492-8.
  5. 1 2 Morton, Julia F. (1987). "Mango". Fruits of Warm Climates. Center for New Crops & Plant Products, Universiti Purdue. m/s. 221–239.
  6. 1 2 Kuhn, David N.; Bally, Ian S. E.; Dillon, Natalie L.; Innes, David; Groh, Amy M.; Rahaman, Jordon; Ophir, Ron; Cohen, Yuval; Sherman, Amir (20 April 2017). "Genetic Map of Mango: A Tool for Mango Breeding". Frontiers in Plant Science. 8: 577. doi:10.3389/fpls.2017.00577. PMC 5397511. PMID 28473837.{{cite journal}}: CS1 maint: unflagged free DOI (link)
  7. 1 2 Warschefsky, Emily J.; Wettberg, Eric J. B. (Jun 2019). "Population genomic analysis of mango (Mangifera indica) suggests a complex history of domestication". New Phytologist. 222 (4): 2023–2037. doi:10.1111/nph.15731. PMID 30730057.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]